BAHAN-BAHAN DAN CARA-CARA MEMBUAT BUNGA DIP (SAIZ KECIL)



Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bunga dip (saiz kecil):


1. Thinner
2. Cecair Dip Jenis A
3. Serbuk Dip Glass Beads
4. Cecair Dip Jenis B
5. Strengthener
6. Floral Tape
7. Cecair Dip Jenis C
8. Cutter & Pliers
9. Dawai
10. Inti Bunga
11. Gold Dust

Teknik-teknik untuk membuat bunga dip:
1.       Pen/pensil/marker (apa2 saja objek berbentuk silinder sebagai acuan untuk membentuk bulatan)
2.       Dawai dililitkan sebanyak 5 lilitan (untuk hasilkan 5 kelopak bunga) di sekeliling acuan silinder pilihan anda.
3.       Sisipkan hujung dawai di bawah lilitan (untuk mengikat lilitan yang dihasilkan)
4.       Bentukkan kelopak mengikut jenis bunga yang ingin dihasilkan.
5.       Celupkan dalam cecair dip. (Pastikan cecair dip tidak terlalu pekat)
6.       Biarkan cecair dip benar-benar kering sebelum mencelup atau menyembur strengthener kepada bunga.
7.       Taburkan prada/gold dust/glass beads untuk kesan berkilat pada bunga.
8.       Letakkan juga manik di tengah-tengah bunga sebagai inti bunga.
9.       Biarkan strengthener kering.
10.   Balutkan bunga yang dihasilkan pada dawai bunga dengan menggunakan floral tape.




    PROGRAM EXPERT WORKSHOP PJK BESOUT 1

        Bertempat di Balairaya Felda Gunung Besout 1, satu Program Expert Workshop anjuran Pusat JalurLebar Komuniti Felda Gunung Besout 1 dengan kerjasama Packet 1 (P1) dan Warisan Global Sdn Bhd telah berlangsung pada 10 April 2011 bermula pada jam 2.30 petang hingga 5.30 petang. Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk menggalakkan penggunaan ICT secara efektif dalam aktiviti harian, meningkatkan literasi ICT di kalangan kumpulan sasaran dan juga untuk merapatkan dan mengekalkan hubungan antara PJK dengan masyarakat setempat.




         Program telah dihadiri oleh golongan belia dan ahli-ahli Gabungan Persatuan Wanita (GPW).  Puan Shajaratul bt Ismail telah dijemput khas bagi menjayakan program ini.  Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang seni hiasan dan Andaman dan telah berkecimpung dalam bidang ini selama 7 tahun.  Beliau sering mengendalikan perkahwinan VIP dan sering mendapat liputan media yang meluas.  Hasil kerjayanya telah dipamerkan di dalam majalah Pengantin, Nona dan sebagainya.

    Para Peserta Sedang Tekun Membuat Rangka Bunga Dip

         Sewaktu program ini dijalankan, peserta telah diajar teknik menghasilkan bunga dip.  Peserta diberikan bahan-bahan dan dengan tunjuk ajar pakar dan hasil kreativiti sendiri, peserta berjaya menyiapkan bunga dip. Selain itu juga, pihak penganjur telah menjemput Cik Norfaridah bt Zainuddin, selaku wakil usahawan dalam bidang andaman dan hantaran utuk sama-sama berkongsi pengalaman dan kemahiran beliau.

    Bunga Dip Yang Telah Siap
                                                             
         Secara keseluruhan, semua peserta sangat berpuas hati dengan program ini.  Semua peserta berasa teruja kerana ini merupakan pertama kali mereka dijemput ke program seperti ini.  Di harap, program seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang.  Pihak PJK sedang merancang program terbaru yang akan dijalankan bersama komuniti dan semoga program seperti ini akan sentiasa mendapat sambutan dan sokongan dari semua pihak.








    Kenali Expert Anda..!!

            Pakar yang akan dibawa khas ke Felda Gunung Besout 1 ini merupakan anak jati Alor Setar, Kedah iaitu Puan Shajaratul Ismail. Anak ke-2  daripada 5 orang adik-beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Seni Komputer Digital daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU).


            Ibu kepada seorang putera berusia 7 tahun ini mula berkecimpung dalam bidang perundingan perkahwinan semenjak 7 tahun yang lalu. Pada mulanya, bidang seni hiasan dan andaman hanyalah sekadar hobi semata-mata namun galakan daripada teman-teman dan keluarga telah mendorong beliau untuk menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya. 


            Keputusan nekad yang diambil untuk menubuhkan butik sendiri iaitu Shajaratul Design ternyata membuahkan hasil yang membanggakan. Kini, butiknya menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pakej perkahwinan, gubahan hantaran, cenderahati yang dihasilkan daripada bunga-bunga kristal, dip, dan banyak lagi. 


              Kualiti kerja yang sangat teliti dan kreativiti beliau yang tinggi telah berjaya menempatkan beliau sebaris dengan perunding perkahwinan ternama yang lain di seluruh Malaysia. Buktinya, beliau sering mengendalikan majlis perkahwinan golongan VIP  di hotel-hotel ternama di Lembah Klang seperti di The Palace of Golden Horses, Equatorial dan Concorde. 


              Kejayaan lain yang telah dikecapi oleh usahawan muda ini mendapat liputan media yang meluas antaranya di dalam Majalah Pengantin, Majalah Nona dan Majalah RASA. Beliau juga pernah bersiaran di dalam rancangan Wanita Hari Ini  dan Ratu Sehari di TV3. Selain itu, beliau juga sering dijemput menyertai Pameran Perkahwinan di sekitar Kuala Lumpur bagi membuat  demonstrasi gubahan hantaran dan cenderahati.

    Berita baik kepada komuniti Besout 1..!!

    Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Felda Gunung Besout 1, akan mengadakan satu Program Expert Workshop iaitu Bengkel Gubahan Hantaran bersama seorang perundingkan perkahwinan, Puan Shajaratul Ismail.

    Bengkel yang akan memakan masa selama setengah hari ini akan diadakan secara percuma kepada komuniti Felda Gunung Besout 1 dan penyertaannya terbuka kepada semua Penerokawati daripada Felda Gunung Besout 1 sahaja. 

    Penyertaan untuk bengkel ini adalah terhad dan untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengurus/Penolong Pengurus PJK Felda Gunung Besout 1 atau datang terus ke PJK untuk mendapat maklumat lanjut seterusnya mendaftarkan diri anda di sana.
      
    Di samping itu, para peserta juga secara tidak langsung akan didedahkan tentang penggunaan ICT (internet), di mana setiap nota rujukan, tip & petua, maklumat terkini serta sebarang pertanyaan selepas bengkel boleh dilakukan hanya melalui blog khas ini. 

    Blog ini juga akan berfungsi sebagai sumber maklumat kepada peserta bengkel untuk melayari pautan-pautan lain yang berkaitan.